Selepas hampir dua dekad mengharungi pelbagai perubahan, Predefined kini muncul semula dengan semangat yang diperbaharui. Ditubuhkan pada tahun 2008 dengan hasrat menghasilkan muzik yang ringkas, bertenaga dan terus mengena, band dari Utara tanah air ini pernah melalui fasa hiatus apabila komitmen keluarga, kerjaya dan kehidupan mula mengambil keutamaan. Namun kecintaan terhadap muzik berat akhirnya menyatukan mereka kembali. Bermula dengan rakaman semula lagu "Pride" pada tahun 2023, disusuli kemunculan di pentas pada tahun 2026 dan persiapan menuju rilisan baharu pada tahun 2027, Predefined kini sedang menulis satu bab yang sama sekali baharu dalam perjalanan mereka.
Facebook : https://www.facebook.com/Predefined?
Instagram : https://www.instagram.com/predefinedband?igsh=OXEyMTQ2N20wM3g=
Tiktok : https://www.tiktok.com/@predefinedband?_r=1&_t=ZS-97RWSINkAg0
Youtube : https://youtube.com/@predefinedmy?si=ZV_G4Dp0vgO7gOHI
&---------------------------&
1. Perkenalkan diri dan cerita sedikit sejarah anda bersama band Predefined. Kenapa namanya Predefined?
Salam. Saya Shahrir Shuib, gitarist dan main songwriter untuk Predefined.
Predefined ditubuhkan sekitar 2008. Masa tu ahli ada 5 orang, gabungan dari 2 band yang memainkan muzik yang agak berlainan, satu bermain muzik ala-ala nu-metal dan satu lagi ala-ala melodic metal.
Apabila Predefined ditubuhkan dengan mengambil kira kekuatan dan minat semua ahli-ahli dalam band, kami mengambil keputusan untuk memainkan lagu-lagu yang lebih simple dan matang, bercorak hardcore, nu-metal, groove, melodic dan sebagainya.
Nama PREDEFINED adalah diambil bersempena dengan maksud ’kembali ke definisi asal’, nama itu dikira bersesuaian dengan pendekatan kami kepada muzik yang dimainkan, ianya lebih mementingkan sesuatu yang ‘direct to the point’.
Masa tu semua orang masih muda belia, niat nak buat satu band yang buat lagu yang energetic dan simple-simple sebab nak lompat atas stage. keinginan dan kebolehan untuk melompat dan headbang agak tinggi masa tu.
2. Selepas melalui pelbagai fasa sepanjang kewujudan Predefined, apakah yang mendorong band ini untuk kembali bergerak dengan lebih aktif sejak kebelakangan ini? Adakah ini permulaan kepada satu bab yang baharu?
Band ini sebenarnya memasuki fasa hiatus sekitar 2018 akibat kehilangan ahli-ahli dan kekangan masa serta tenaga dan kewangan setelah rata-rata ahli band memasuki alam rumahtangga dan alam kerjaya.
Tetapi kerinduan kepada muzik berat dan bertenaga menjadi pendorong yang kuat untuk sesetengah ahli band bersatu kembali. Keadaan ekonomi masing-masing yang lebih kukuh dan kestabilan keluarga masing-masing turut menjadi faktor pendorong buat kami. Sekarang kami juga ada kemudahan studio yang tetap, dan ini menjadi faktor utama kami untuk bergerak kembali aktif.
Sejujurnya, ya, kali ini adalah permulaan semula yang baru, satu bab yang baru. Lineup banyak berubah, dan kehadiran ahli-ahli baru sebenarnya lebih menguatkan apa yang sedia ada di samping membawa masuk elemen-elemen yang baru dan lebih moden.
3. Single "Pride" yang diterbitkan pada tahun 2023 boleh dianggap sebagai titik permulaan kepada fasa semasa Predefined. Bagaimana idea lagu itu lahir, dan sejauh mana ia menggambarkan identiti muzik Predefined pada hari ini?
Sebenarnya single ‘Pride” itu diambil dari lagu lama kami (2016) yang telah disusun, ditulis dan direkod semula bersama ahli-ahli baru berdasarkan idea dan elemen yang baru. Ianya adalah satu usaha untuk membuat satu ‘comeback’ yang rancak dan bertenaga. Kami memillih lagu tersebut untuk direkod semula sebab groove, corak, rentak dan nyawa lagu tersebut setelah digubah semula mengikut kesesuaian lineup yang terkini adalah menjadi sesuatu yang menggambarkan satu titik permulaan yang baru bagi kami. Dah tak sama macam dulu. Pride (2023) kedengaran lebih sesuai untuk mewakili ‘comeback’ Predefined.
Pada mulanya kami ingin keluarkan lagu yang baru tetapi kami mengambil keputusan untuk menyimpan lagu-lagu baru kami dan akan dikeluarkan sebagai full album.
4. Sepanjang kewujudan Predefined, band ini bukanlah sebuah band yang kerap membuat persembahan secara langsung. Mengapa keadaan itu berlaku? Adakah ia satu pilihan, kekangan tertentu, atau sekadar keadaan yang berlaku pada waktu tersebut?
Predefined bukanlah satu band yang kerap membuat persembahan secara langsung. Ianya berlaku atas beberapa sebab.
Faktor geografi dan kerjaya adalah kekangan yang agak besar bagi kami buat masa kini. Kesemua ahli band ada kerjaya masing-masing, ada pegawai Kerajaan dan ada juga yang memiliki business sendiri.
Predefined adalah band yang berpusat di Utara Malaysia, hari minggu yang jatuh pada hari yang tidak sama dengan kebanyakan event adalah agak mengganggu perjalanan band.
Dalam tahun ini sahaja ada beberapa event dan gig-gig yang menjemput, namun terpaksa kami menolak dan memohon maaf kerana tak dapat untuk memberikan komitmen atas sebab tarikh dan masa yang tidak dapat kami sambut.
Namun begitu kami masih kerap mencuba untuk mencari acara-acara yang bersesuaian dengan masa dan komitmen.
5. Apabila melihat semula perjalanan Predefined dari awal sehingga sekarang, apakah perkara yang masih kekal tidak berubah walaupun ahli, pengalaman dan zaman sudah bertukar?
Semua ahli Predefined masih ketagih nak jamming walaupun tiada event. Kami masih akan ke studio seboleh-bolehnya seminggu sekali. Kami masih mengekalkan konsep bersahabat dan ‘brotherhood’ dalam satu band.
Predefined masih mengekalkan konsep berbincang tentang semua perkara secara berhadapan, dari penghasilan lagu hinggalah ke konsep, penghasilan sound, pedal effect, drumkit, pakaian dan sebagainya. Kami masih berpegang pada hukum demokrasi dalam band, semua ahli ada suara dan tiada penumpang.
6. Sebaliknya, apakah pula perkara yang paling banyak berubah dalam cara Predefined menghasilkan muzik? Adakah proses penulisan lagu hari ini jauh berbeza berbanding dahulu?
Boleh kata proses penulisan lagu sekarang agak jauh berbeza. Sekarang Predefined ada studio yang tetap, dan ini menjadikan penulisan lagu Predefined berbeza kalau dibandingkan dengan masa yang lalu.
Semua lagu terkini Predefined dihasilkan secara bersama-sama. Saya selaku main songwriter selalunya akan menghasilkan beberapa idea untuk riff gitar dan susunan lagu secara basic sahaja. Selainnya akan dihasilkan bersama-sama di studio. Semua idea, semua detailing akan disusun bersama.
Kami lebih mengambil masa untuk menghasilkan sesebuah lagu. Prosesnya adalah jauh lebih organic dan matang dari masa lalu.
7. Saya difahamkan Predefined sedang menyiapkan material baharu yang disasarkan untuk diterbitkan pada tahun 2027. Setakat yang boleh dikongsikan, apakah yang boleh dijangkakan oleh peminat? Adakah ia satu kesinambungan kepada "Pride", atau membawa arah yang berbeza?
Predefined sedang dalam proses menyiapkan rilisan terbaru, dan ianya lebih bertenaga dari semua rilisan yang sebelum ini.
Lineup yang terbaru Predefined memberi impak yang berbeza. Lagu-lagu yang sedang disediakan adalah lebih matang, lebih kemas, lebih bermelodi dan lebih bertenaga.
Kami masih menuju ke arah yang sama, masih mengutamakan ‘groove’ dalam lagu tetapi juga membawa beberapa elemen baru yang tiada sebelum ini. Beberapa aspek juga diambil kira seperti ‘dual guitarworks’ yang jauh lebih mantap dari yang sebelumnya, drum dan bass yang jauh lebih ‘lock in’ dan teknikal dan melodi vokal yang mengutamakan ‘catchy’ supaya lagu menjadi lebih senang diingati dan dinikmati.
8. Apabila kembali aktif, adakah objektif Predefined hari ini masih sama seperti ketika mula ditubuhkan dahulu, ataupun definisi "berjaya" bagi band ini juga telah berubah mengikut usia, pengalaman dan perubahan landskap scene metal?
Objektif Predefined berubah mengikut zaman dan masa. Semasa mula2 ditubuhkan dahulu, ahli-ahli Predefined mementingkan banyak ‘stage-time’ dan ‘exposure’. Perform di mana saja bila-bila masa sahaja.
Kemudiannya Predefined inginkan sebuah rilisan yang baik, tak cukup sekadar sebuah ‘demo’ sahaja. Predefined telahpun merilis sebuah ‘EP’ sekitar 2016 dalam bentuk CD, dan ianya telahpun habis dijual di pasaran underground.
Apabila landscape metal berubah, dan usia serta pengalaman telah menambah, Predefined kini lebih mementingkan kualiti ‘sound’ yang padu dalam persembahan. Dalam usaha mencapai keseimbangan bunyi di dalam satu unit yang mementingkan permainan yang ‘tight’ dan matang, segala jenis tone dicari dan digarap dan digubah bersama-sama dalam sesi di studio.
Pada kami sekarang, kami sangat enjoy bermain muzik kami. Kalau orang lain pun enjoy dengan apa yang kami bawa, maka itu sudah dikira sabagai satu pencapaian.
9. Tahun 2026 menyaksikan Predefined mula muncul di pentas dengan lebih kerap berbanding sebelum ini. Adakah persembahan secara langsung kini akan menjadi sebahagian daripada perancangan jangka panjang Predefined, atau anda masih mahu mengekalkan pendekatan yang lebih selektif?
Seperti yang telah tersedia maklum, Predefined bakal ada rilisan tak lama lagi. Untuk membuat promosi awal rilisan tersebut, kami membuat keputusan untuk melakukan persembahan sekerap yang boleh.
Untuk perancangan jangka masa panjang, Predefined akan mencuba seboleh-bolehnya untuk kerap muncul dalam persembahan pentas.
10. Jika kita bertemu semula selepas rilisan baharu pada tahun 2027 nanti, apakah yang anda harap sudah berubah dalam perjalanan Predefined? Apakah sasaran yang ingin dicapai menjelang waktu itu?
Adalah menjadi harapan kami selepas rilisan nanti untuk mendapat peluang bermain di event yang lebih besar, peluang bermain di Sabah/Sarawak ataupun di negara - negara jiran. Kami ingin mendapat lebih peluang untuk bermain di pentas yang lebih besar dan bermain dengan sistem bunyi yang lebih lengkap dan beraras tinggi.
Kami ingin nama Predefined dan lagu-lagu kami lebih dikenali dari masa sekarang di lanskap metal dan underground. Kami berharap muzik dan imej kami kekal relevan dan mampu bersaing dengan nama - nama besar di arena muzik pada masa kini dan juga masa hadapan.
&---------------------------&
Apa yang menarik tentang Predefined bukan sekadar kembalinya mereka ke pentas atau ke studio, tetapi bagaimana mereka memilih untuk terus bergerak atas dasar persahabatan, keseronokan bermain muzik dan keinginan untuk sentiasa memperbaiki diri. Dalam era di mana ramai mengukur kejayaan melalui angka dan algoritma, Predefined memilih untuk menumpukan kepada kualiti, kematangan dan kepuasan menghasilkan muzik yang mereka sendiri percaya. Dengan rilisan baharu yang sedang dalam pembikinan dan cita-cita untuk menembusi pentas yang lebih besar di dalam dan luar negara, perjalanan Predefined nampaknya masih jauh daripada penghujungnya.

Comments
Post a Comment