Dalam tempoh hanya tiga tahun, 302 telah bergerak lebih pantas daripada kebanyakan band baharu. Bermula sekadar mahu menghasilkan lagu sendiri dan bermain di gig kecil, mereka kini sudah memiliki beberapa single, membuat persembahan di Singapura dan Indonesia, selain sedang menyiapkan album sulung yang menjadi sasaran utama mereka. Namun di sebalik perkembangan itu, 302 melihat semuanya bukan sebagai jalan pintas, tetapi hasil daripada tindakan yang konsisten, kesediaan merebut peluang dan kepercayaan bahawa momentum perlu sentiasa dipelihara. Bersama Krenmaut, Ikmal berkongsi kisah di sebalik nama 302, perjalanan mereka sejak 2023, pembikinan album sulung serta pandangan mereka tentang cabaran sebenar yang dihadapi oleh band-band generasi baharu.
&---------------------------&
1. Perkenalkan diri kepada mereka yang tak kenal dan siapakah kau dalam 302? Kenapa nama 302?
Assalamualaikum, nama saya Ikmal. Saya salah seorang daripada empat orang pengasas asal 302 dan juga bassist untuk band ni. Saya juga banyak handle urusan media sosial dan menguruskan digital archive band.
Band 302 dianggotai oleh Amin, Atoq, Amat, Fazlur dan Ikmal. Nama 302 pula diambil daripada Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Malaysia yang berkait dengan hukuman untuk kesalahan membunuh. Nama ni ada unsur pembunuhan, hukuman dan seksaan yang memang dekat dengan muzik extreme yang kami bawa. Sampai hari ni masih ada lagi orang duk tanya, "nama 302 tu apa benda?". Bagi saya itu adalah satu kelainan sebab pendengar baru akan sentiasa tanya maksud nama band ni.
2. 302 baru ditubuhkan pada 2023 tetapi dalam masa yang agak singkat sudah ada beberapa single, gig luar negara dan album sulung dalam perancangan. Adakah perkembangan ini memang dirancang dari awal atau berlaku secara organik?
Pada saya, perkembangan 302 ni berlaku secara natural dan spontaneous. Masa awal-awal tubuhkan band ni pada 2023, niat kami cuma nak ada lagu sendiri dan start cari gig-gig kecil saja. Pasal beberapa single tu pula, sebenarnya pada awalnya kami ada plan nak release sebuah EP. Tapi masa tu material tak cukup lagi. Dalam masa yang sama, Amin pula dah terlepas cakap dalam gig 302 pada bulan Mac 2024 yang kami akan release material pada bulan Jun 2024. Jadi nak tak nak, kami memang kena release sesuatu. Dari situlah lahirnya For Freedom sebagai single pertama 302.
Urusan gig dan management band diuruskan sepenuhnya oleh manager kami iaitu Puan Fiza. Kalau ikutkan, gig di Singapore dan Indonesia adalah rezeki yang unexpected untuk 302. Bila organizer contact manager, kami terus bincang sesama sendiri, set tarikh dan buat yang terbaik. Kalau peluang tu datang dan kami rasa mampu buat, kami tak akan lepaskan begitu saja.
Album pula memang dah dirancang dari awal, cuma sekarang kami masih lagi dalam proses recording. Kami tak nak terlalu rushing sebab nak pastikan bila dah released nanti, kami betul-betul rasa ia menjadi satu rilisan yang baik.
Dalam tempoh tiga tahun ni, 302 berubah daripada sekadar band yang jamming lagu-lagu cover kepada menjadi band headliner untuk sebuah gig di Bali, Indonesia. Semua ini berlaku secara natural dan sejujurnya, kami sendiri pun kadang-kadang masih tidak percaya.
3. Sejak For Freedom sehingga Flight Ov Deth, apakah perubahan paling ketara yang korang nampak pada identiti dan hala tuju muzik 302?
Memang ada perubahan sikit di belakang tabir, tapi identiti 302 tu masih dikekalkan. For Freedom menggunakan vokal Xsrezal manakala Flight Ov Deth pula menggunakan vokal Matli Death, jadi dari segi vocal approach sahaja dah memang berbeza.
Selain itu, production, groove dan guitar work dalam Flight Ov Deth pun kami hasilkan agak berbeza dari single pertama, bukan sekadar nak laju atau berat semata-mata.
Untuk performance Flight Ov Deth secara live dengan vocalist terbaru kami iaitu Fazlur Fuzz Redza, kami dah mula menggunakan sequence intro untuk bagi sedikit suasana sebelum lagu bermula. Benda macam ni nampak simple, tapi bagi kami ia sebahagian daripada perkembangan 302.
Dari segi hala tuju pula, kami memang nak kekalkan cara penulisan lirik dan identiti muzik seperti yang asal, cuma idea dalam penulisan lagu akan dikembangkan lagi. Senang cerita, walaupun ada perubahan pada Flight Ov Deth, dia masih identiti sebenar 302.
4. Sebelum ini 302 menyatakan bahawa They Will Come Back ialah single terakhir sebelum album sulung. Jadi apa status terkini album tersebut dan sejauh mana prosesnya sekarang?
Album masih lagi dalam proses pembikinan dan recording. Kami mengambil sedikit masa sebab masing-masing ada komitmen tersendiri dan ada juga ahli yang aktif dengan band lain. Jadi, masa untuk berkumpul dan fokus kepada rakaman agak terhad.
Album ni sangat penting pada kami sebab semua lagu akan dirakam semula dengan line-up terkini 302 dan kami nak pastikan hasilnya lebih matang dari segi production dan keseluruhan kualiti berbanding rilisan sebelum ni.
Sejujurnya, saya harap bila album ni keluar nanti, orang akan rasa penantian tu berbaloi. Dari segi production pula, saya harap pendengar akan rasa album pertama 302 ni boleh berdiri sama level dengan rilisan terbaik dari band tempatan dan juga dari luar negara.
5. Dari segi penulisan lagu, apakah yang peminat boleh jangkakan daripada album sulung nanti? Adakah ia akan menyambung formula tiga single terdahulu atau ada kejutan yang berbeza?
Kalau dari segi penulisan lagu, sejujurnya kami rasa peminat tak boleh jangka sangat apa yang akan ada dalam album tu nanti. Apa yang kami boleh cakap, penulisan lagu 302 sentiasa bersifat dinamik. Setiap lagu ada feel, tempo dan identiti yang berbeza. Ada lagu yang laju, ada yang sederhana dan ada juga yang lebih berat.
Dari segi formula pula, jawapannya ya dan tidak. Kami masih pegang beberapa elemen yang orang dah kenal daripada tiga single terdahulu, tapi kami tak mahu terikat dengan formula yang sama untuk setiap lagu.
Jadi, lagu-lagu dalam album ni memang agak berbeza antara satu sama lain. Ada yang berunsurkan old-school dan modern, gabungan thrash, death, melodic dan ada juga elemen heavy metal.
Untuk lirik, kami masih kekalkan tema kebebasan, penindasan, kekejaman dan peperangan yang merupakan identiti 302. So, walaupun muziknya lebih pelbagai, mesej yang kami bawa masih lagi sama.
6. Sebagai sebuah band yang masih baharu, pada pandangan korang apakah cabaran terbesar yang dihadapi oleh band-band generasi baharu untuk berkembang dalam scene metal hari ini?
Pada saya, cabaran terbesar sekarang adalah konsistensi. Nak tubuhkan band tu tak susah, tapi nak kekal aktif, keluarkan material dan terus bergerak... itu yang susah.
Zaman pun dah berubah. Kalau 20-30 tahun lepas, orang kenal band melalui gig, demo tape dan zine. Tapi hari ni, ramai orang kenal band melalui media sosial. Jadi, kalau band tu tak aktif dekat social media, peminat pun tak tahu perkembangan dan event organizer pun susah nak contact.
Selain tu, connection dalam scene pun penting. Jangan tunggu organizer panggil baru nak bergerak. Kita kena pergi support gig, kenal orang, berkawan dengan band lain dan kurangkan salah faham sesama sendiri.
Bagi saya, scene metal underground Malaysia tak pernah lemah. Dari dulu sampai sekarang sentiasa ada band baru dan sentiasa ada orang yang support. Cuma saya rasa kita semua masih boleh buat lebih lagi untuk sama-sama majukan scene ni.
7. 302 banyak membawa tema peperangan, penindasan, perjuangan dan kebebasan dalam lirik. Mengapa tema-tema ini begitu penting kepada band dan bagaimana ia diterjemahkan dalam album sulung nanti?
Tema-tema ni memang dah dibawa oleh banyak band thrash metal dari dulu. Jadi bagi kami, kenapa nak lari daripada tema yang masih relevan sampai ke hari ni?
302 memang pro-Palestine dan kami benci apa yang Israel dan Amerika Syarikat buat terhadap orang yang tak bersalah. Kami membawa lirik bertemakan anti-war kerana rasa terkesan dengan kekejaman kuasa besar yang menindas orang awam. Extreme music adalah medium yang sesuai untuk kami menyampaikan perjuangan ini.
Bila dah keluar album 302 nanti, kami harap pendengar akan terus faham mesej yang 302 nak sampaikan. Di sebalik muzik yang keras dan agresif, kami sebenarnya membawa sebuah cebisan realiti untuk pendengar hayati.
8. Korang sempat mengadakan aktiviti dan persembahan di Indonesia. Apa pengalaman atau pemerhatian paling menarik tentang sambutan peminat metal di sana berbanding Malaysia?
Banyak juga benda yang susah nak dilupakan. Dari segi cara setup event, stage dan technical meeting, sebenarnya tak banyak beza dengan Malaysia. Cuma cara perlaksanaan dan mindset mereka terhadap scene tu agak berbeza.
Crowd di sana memang sangat supportive. Masa kami perform, ada yang tak berhenti headbanging, moshpit dan sing along. Siap ada yang rampas mic dari vocalist kami. Ada juga yang bawa lari setlist kami atas stage walaupun performance belum habis lagi. Ramai juga yang datang ke booth kami untuk membeli merch, berkenalan dan bertanya khabar tentang scene di Malaysia.
Dari segi hospitality pula, organizers layan kami dengan sangat baik. Benda macam ni buat kami rasa diterima dan lebih bersemangat untuk pergi lagi ke Indonesia.
Saya perasan, walaupun genre yang sedang aktif di sana agak berlainan dengan muzik yang kami bawa, diorang tetap terbuka memberi sokongan kepada band death/thrash seperti 302.
Selepas beberapa show di Indonesia, kami yakin yang muzik ni sebenarnya tak kenal sempadan. Kalau orang di negara lain boleh faham dan support muzik kami, kenapa kami sendiri nak letak limit dekat 302?
9. Korang tentu melihat sendiri kejayaan dan kegagalan band-band yang lebih lama dalam scene. Apakah kesilapan yang sering dilakukan oleh band lama yang 302 berazam untuk tidak ulangi?
Kami banyak belajar daripada band-band lama, sama ada daripada kejayaan atau kesilapan yang pernah berlaku dalam scene. Salah satu benda yang kami pegang dalam 302 ialah kami cuba buang perkataan "nanti" dalam kamus band ni. Kalau ada benda yang kami nak buat, kami akan terus rancang dan usahakan. Sebab kadang-kadang bila terlalu banyak "nanti", akhirnya benda tu tak jadi.
Kami faham ada sesetengah band yang ambil keputusan untuk berehat atau take a break dan kami hormati benda tu sebab setiap band ada sebab dan komitmen masing-masing. Tapi bagi kami, bila nak mula balik selepas berehat tu, semangat kena dua kali ganda sebab momentum bukan senang nak dibina semula.
Satu lagi rezeki besar untuk 302 ialah chemistry antara setiap ahli. Setiap kali lepas gig, kami akan buat post mortem session untuk mencari room for improvement. Band members semua ada matlamat yang sama dan kami akan pastikan tak ada ahli yang pasif. Setiap keputusan kami bincang bersama dan kami tak mudah koyak kalau ada ahli yang menegur atau tak setuju dengan sesuatu idea. Sebab pada akhirnya, semua orang cuma nak yang terbaik untuk 302. Bak kata pepatah, bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat.
10. Jika melihat kembali perjalanan dari 2023 hingga sekarang, apakah keputusan paling penting yang membantu 302 berkembang dengan cepat, dan apakah sasaran terbesar yang ingin dicapai dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang?
Kalau nak pilih satu keputusan yang paling penting, rasanya kami bertuah sebab dipertemukan dengan bandmates, media team dan manager yang tepat untuk 302. Media team kami diketuai oleh Mr Andy dari AAV GIGS sejak gig pertama kami pada March 2024. Penglibatan bro Andy memberi impak yang besar dalam perjalanan 302. Dari segi management pula, kami beruntung kerana Puan Fiza sentiasa memilih yang terbaik untuk 302. Nevertheless, tanpa support dan peluang yang diberikan oleh family dan para organizers, saya tak rasa 302 akan bergerak sejauh ini dalam tempoh yang singkat.
Hasrat saya supaya 302 boleh kekalkan momentum dan diberi rezeki untuk buat album tour di negara-negara South East Asia bersama band-band yang dihormati. Saya juga berharap 302 tidak berada di tahap yang sama untuk jangka masa yang panjang. Sebaliknya, mencapai tahap yang lebih baik dan menjadi band yang professional pada masa akan datang.
&---------------------------&
Walaupun usia 302 masih muda jika dibandingkan dengan ramai nama lama dalam scene, pendekatan mereka jelas berteraskan disiplin dan perancangan jangka panjang. Album sulung masih dalam proses, namun cita-cita mereka tidak berhenti di situ. Mereka mahu terus berkembang, menjelajah Asia Tenggara dan memastikan setiap langkah membawa 302 ke tahap yang lebih tinggi daripada sebelumnya. Jika momentum yang dibina sejak 2023 dapat dikekalkan, 302 berpotensi menjadi antara nama yang semakin sukar diabaikan dalam landskap death/thrash metal tempatan.


Comments
Post a Comment