Falsafah Sebuah Pelancaran: Majlis Pradengar (Bahagian 1)


Setiap kali sesebuah band melahirkan sebuah single, EP, album atau muzik video, perhatian umum biasanya tertumpu kepada hasil akhirnya. Apa yang jarang dibincangkan ialah perjalanan yang membawa kepada kelahiran karya tersebut.

Di sebalik sebuah rilisan album, sebagai contoh, terdapat satu proses yang panjang. Ia bermula daripada cetusan idea, diteruskan dengan latihan yang berulang kali, proses rakaman, mixing, mastering, perbincangan konsep, penulisan lirik, pemilihan artwork, reka bentuk pembungkusan, strategi promosi dan pelbagai lagi aspek yang memerlukan masa, tenaga serta perbelanjaan yang besar. Ada karya yang mengambil masa berbulan-bulan untuk disiapkan, malah tidak sedikit yang memakan masa bertahun-tahun.

Namun, pada era media sosial hari ini, tidak sedikit karya yang akhirnya hanya "dilancarkan" melalui satu hantaran Facebook atau Instagram. Selepas beberapa saat, hantaran tersebut tenggelam apabila pengguna melompat ke kandungan berikutnya. Ironinya, proses kreatif yang memakan sebahagian daripada kehidupan pengkarya berakhir dengan beberapa saat perhatian di skrin telefon.

Bukan bermaksud pelancaran digital itu tidak penting. Ia tetap medium yang sangat berkesan dan tidak dapat dielakkan pada hari ini. Namun saya berpendapat, sebuah karya yang telah menuntut pengorbanan sedemikian besar wajar diberikan satu detik yang lebih bermakna sebelum ia memasuki arus media sosial yang bergerak tanpa henti.

Atas sebab itulah Langsuir memilih untuk mengadakan Majlis Pradengar sejak pelancaran *Dirgha Belasungkawa* pada tahun 2019, dan meneruskannya secara konsisten melalui *Engkar* (2024) serta *Fitan* (2025). Pada ketika budaya ini masih jarang diamalkan dalam arena muzik underground Malaysia, kami memilih satu pendekatan yang lazim dilakukan di peringkat antarabangsa, iaitu memberi ruang kepada media, pengulas, rakan pemuzik dan tetamu jemputan untuk mendengar keseluruhan karya dalam suasana yang lebih tertib sebelum ia diterbitkan kepada umum.

Bagi kami, Majlis Pradengar bukan sekadar acara promosi. Ia merupakan satu bentuk penghormatan terhadap keseluruhan proses kreatif yang melahirkan sesebuah karya. Sebuah album bukan sekadar himpunan lagu, tetapi sebuah karya yang mempunyai naratif, konsep dan perjalanan tersendiri. Justeru, ia juga wajar diperkenalkan dengan penghormatan yang setimpal.

Inilah falsafah yang menjadi asas kepada setiap Majlis Pradengar Langsuir sejak tahun 2019. Bukan semata-mata untuk kelihatan eksklusif, tetapi untuk mengingatkan diri kami sendiri bahawa jika pengkarya tidak meletakkan nilai yang tinggi pada hasil ciptaan mereka sendir, sukar untuk mengharapkan orang lain berbuat demikian.

bersambung...

Comments