Falsafah Sebuah Pelancaran: Majlis Pradengar (Bahagian 2)


Majlis Pradengar memerlukan kos tambahan, masa dan perancangan yang lebih rapi. Tempat perlu disediakan, sistem audio perlu berada pada tahap yang memuaskan, tetamu perlu dijemput, perjalanan acara perlu disusun dan pelbagai urusan lain perlu dibereskan. Dari sudut praktikal, jauh lebih mudah jika sesebuah album dilancarkan terus secara maya.

Soalnya, adakah sesuatu yang mudah itu sentiasa yang terbaik?

Saya melihat pelancaran sesebuah karya sebagai saat pertama sesebuah karya bertemu dengan dunia. Saat pertama itu penting kerana di situlah persepsi mula terbentuk.

Di media sosial, hampir semua kandungan sedang bersaing untuk mendapatkan perhatian. Album baharu bersaing dengan video lucu, berita semasa, iklan, gambar makanan, video kucing dan pelbagai lagi kandungan yang silih berganti tanpa henti. Sebuah album mudah menjadi satu lagi kandungan yang hanya dilihat sepintas lalu sebelum pengguna beralih ke hantaran berikutnya.

Kita maklum dengan sifat  media sosial yang dibina untuk menggalakkan penggunaan yang pantas dan perhatian yang singkat. Sedangkan sebuah album dibina dengan sifat yang bertentangan. Ia memerlukan masa, tumpuan dan kesabaran untuk difahami. Lebih-lebih lagi jika album tersebut dibina atas konsep tertentu, mempunyai jalan cerita atau disusun dengan aliran yang disengajakan oleh pengkaryanya.

Majlis Pradengar cuba mengembalikan pengalaman mendengar yang semakin hilang itu. Dalam tempoh tersebut, semua yang hadir datang dengan satu tujuan, iaitu mendengar. Tiada siapa yang tergesa-gesa untuk menukar lagu selepas tiga puluh saat. Jika ada pun gangguan daripada notifikasi telefon atau algoritma media social, hadirin masih dipaksa berada di dalam suasana yang sepatutnya. Karya diberi peluang yang lebih untuk bercakap bagi pihak dirinya sendiri.

Mendengar sebuah album dari awal hingga akhir ialah satu bentuk penghormatan kepada pengkarya. Sama seperti kita tidak membaca sebuah novel dengan melompat-lompat bab, atau menonton sebuah filem dengan hanya memilih beberapa babak, sebuah album juga mempunyai susunan, dinamika dan naratif yang dirancang dengan teliti.

Saya masih percaya bahawa sesebuah rilisan wajar mempunyai satu detik yang istimewa sebelum ia diserahkan kepada dunia digital. Kita tidak menolak teknologi, tetapi kita tidak mahu teknologi menentukan sepenuhnya cara kita menghargai sesebuah karya.

Falsafah di sebalik Majlis Pradengar adalah sangat jelas dan penting, iaitu meletakkan nilai kepada saat pertama kelahiran sesebuah karya bertolak dari daya usaha pengkarya.

Ianya adalah satu pesta.

bersambung...

Comments