Saya percaya pengkarya perlu memberikan lebih "love" kepada hasil karya mereka sendiri.
Perkataan "love" di sini bukan bermaksud memuji diri sendiri atau menganggap karya sendiri sempurna. Maksudnya ialah memberikan perhatian, penghormatan dan nilai yang sewajarnya kepada sesuatu yang telah lahir daripada sebahagian hidup kita.
Setiap karya menuntut pengorbanan. Ia menggunakan masa yang tidak akan kembali. Ia menggunakan tenaga yang boleh sahaja disalurkan kepada perkara lain. Ia menggunakan wang yang mungkin lebih bermanfaat untuk keperluan keluarga, pendidikan atau pelaburan. Namun, seorang pengkarya tetap memilih untuk menghabiskan sebahagian daripada hidupnya menghasilkan muzik kerana pada pandangannya, itulah antara perkara yang paling bermakna untuk dilakukan.
Jika itulah pilihannya, mengapa pula hasil akhirnya diperlakukan seperti sesuatu yang tidak mempunyai nilai?
Saya sering melihat pengkarya terlalu cepat merendahkan hasil kerja mereka sendiri. Ada yang berkata, "biasa-biasa saja", "sekadar suka-suka", atau "tak ada apa pun". Barangkali itu lahir daripada sifat merendah diri. Namun apabila dilakukan secara berterusan, ia tanpa sedar membentuk persepsi bahawa karya tersebut memang tidak mempunyai nilai yang tinggi.
Menghargai hasil karya sendiri tidak sama dengan bersikap angkuh. Seorang penulis yang melancarkan bukunya, seorang pelukis yang mengadakan pameran, atau seorang pengarah filem yang mengadakan tayangan perdana, tidak dianggap sombong kerana meraikan hasil usaha mereka. Mereka sedang memberikan penghormatan kepada proses kreatif yang telah mereka lalui.
Saya berpendapat pemuzik underground juga berhak melakukan perkara yang sama.
Jangan takut untuk meraikan kelahiran sebuah karya. Jangan malu untuk menjemput orang datang mendengarnya. Jangan rasa bersalah kerana mahu memberikan pengalaman yang lebih baik kepada media, pengulas dan pendengar. Semua itu bukan tanda ego. Semua itu ialah tanda bahawa kita percaya karya yang kita hasilkan mempunyai nilai.
Ironinya, ramai pengkarya sanggup menghabiskan ribuan ringgit untuk menghasilkan album yang berkualiti, tetapi berasa segan untuk membelanjakan sedikit lagi bagi meraikan kelahirannya. Sedangkan detik pelancaran itulah yang menjadi jambatan pertama antara karya dengan pendengarnya.
Pada akhirnya, budaya menghargai muzik tidak bermula daripada pendengar, media atau penganjur. Ia bermula daripada pengkarya sendiri. Jika kita tidak meletakkan nilai yang tinggi pada hasil ciptaan kita, sukar untuk mengharapkan masyarakat melihatnya dengan penghormatan yang lebih tinggi.
bersambung...
.png)
Comments
Post a Comment