SKINBASHER "Aku Buat Apa Yang Rasa Best."

 


Tiga belas tahun selepas Punkapak, Skinbasher kembali dengan Slatan Sorga. Namun jangan harapkan temuramah yang dipenuhi slogan anti-establishment atau falsafah punk yang berat. Ajak (gitar/vokal) lebih selesa bercakap seperti dirinya sendiri. Seorang lelaki Melayu beragama Islam yang kebetulan bermain muzik punk selama lebih tiga dekad. Dalam perbualan santai bersama Krenmaut, beliau berkongsi tentang muzik, proses berkarya, album baharu dan bagaimana Skinbasher memilih untuk kekal menjadi Skinbasher tanpa mengejar trend atau cuba menjadi sesuatu yang bukan diri mereka.

https://www.facebook.com/skinbasher.punkapak

&---------------------------&

1. Perkenalkan diri kepada mereka yang tak kenal dan siapakah kau dalam Skinbasher? Kenapa nama Skinbasher?

Peranan aku adalah sebagai gitaris dan penyanyi untuk Skinbasher. Aku juga bertugas mencipta lagu dan lirik untuk rilisan-rilisan Skinbasher.

Nama Skinbasher aku ciplak daripada sebuah majalah drummer. Masa tu aku masih main dram untuk band metal Catarrh. Jadi aku berhasrat nak buat band sendiri dengan nama itu walaupun aku bukan drummer Skinbasher.

Kiranya, maksud Skinbasher adalah pemain dram, bukan ada maksud lain. Harap tak ada yang salah faham.


2. Skinbasher dah melalui macam-macam zaman. Ramai band berubah sebab trend, algoritma atau pasaran. Kau pula masih nampak macam Ajak yang sama. Punk bagi kau sebenarnya muzik, cara hidup atau penyakit yang dah tak boleh diubati?

Untuk aku muzik yang aku bawa dalam Skinbasher ni adalah tahap atau level kemampuan aku main muzik. Jadi aku buat saja apa yang aku rasa senang dan enjoy. Bila jadi bunyi macam punk, ok saja.

Nak solo macam Malmsteen aku tak boleh buat. Aku juga ikut kemampuan ahli band. Jika bassist boleh slap mungkin aku buat lebih funky, manakala jika drummer suka blastbeat, aku boleh buat part ala-ala grindcore.

Aku pun tak tahu cara hidup punk tu macam mana. Aku hidup macam orang awam biasa saja. Orang Melayu yang beragama Islam.

Untuk aku punk adalah muzik saja. Cara hidup aku tak punk pun. Melawan bos sikit-sikit tu adalah.

Jadinya aku tak reti nak buat muzik ikut trend. Sebab tu sama saja Skinbasher dulu dan sekarang.

Untuk album Slatan Sorga ni, aku nak korang bukan sekadar faham, tapi enjoy setiap lagu dan datang tengok live. Rasakan feel dia bersama.

Lirik pula aku tak tulis pun pasal politik. Jadinya bukanlah punk mana pun Skinbasher ni.


3. Slatan Sorga keluar selepas lebih sedekad, betul ke? Kalau album ni dianggap "manifesto" Skinbasher tahun 2026, apa benda paling penting yang kau nak orang faham selepas dengar habis satu album?

Betul. Punkapak tahun 2013. Maksudnya 13 tahun tak ada album.

Aku cuma nak bagitahu yang Skinbasher masih aktif buat album dan main live jika diundang.

Mesej pula ada jugaklah kalau siapa yang perasan tu dia tahulah kot.

Tiap lagu mesej tak sama dan juga tak ada kaitan.

Logo baru dan tajuk album ni cuma nak bagitahu yang kami minat Slayer saja. Tak ada apa pun.

Lagu tak sama pun.

(Logo Slayer dan Slatan Sorga = South of Heaven, salah satu album Slayer yang paling mantap! 

Dan lagu Gila Sorga ada part yang homage lagu South Of Heaven.

-ed)



4. Punkapak adalah album korang yang aku paling minat! Semua lagu earcandy. Apa pendapat kau pasal album favourite aku ni?

Punkapak aku pun suka sebab masa ni banyak idea datang.

Terima kasih kerana tuan minat album ni. Harap album Slatan Sorga pun tuan akan minat. Aamiinnn.


5. Lagu Real XPDC dalam Slatan Sorga tu apahal pulak hahaha…

Lagu Real XPDC tu adalah lagu recycle. Iaitu lagu dalam album pertama (Transglobal Confusssion) bertajuk For You To See. Masa muda ni memang acah-acah rebel, kutuk sana kutuk sini.

Jadi aku buat balik sebab nak bagi lirik baru dalam bahasa Malaysia.

Apa kaitan lirik lagu raya dengan Real XPDC? Ni ada unsur spiritual sikitlah. Kalau ada yang tahu kot.

(ingatkan pasal BAND Real XPDC - ed)


6. Kau rasa ada beza ke Skinbasher dahulu dan sekarang? Kau sendiri ada rasa tak usia menjinakkan Skinbasher atau sebenarnya aku punk sampai sekarang, marah aku tetap sama?

Rasanya sama saja kot. Muzik sama saja. Penat jugalah drummer nak main walaupun bukan metal.

Nak kata dah tak marah, ada jugak lagu marah-marah.

Hmm... entahlah. Ikut sajalah mana yang terlintas.


7. Punk sejak dulu selalu melaungkan anti-establishment. Hari ini ramai pula yang nampak lebih sibuk jadi influencer daripada jadi pemberontak. Pada mata kau, semangat punk hari ini masih hidup atau sudah dijual sebagai imej semata-mata?

Soalan ni aku tak tahu nak jawab sebab aku tak ikut sangat perkembangan dunia luar.

Aku sibuk dengan kerja, hujung minggu busking.

Tak ikut perkembangan dunia. Berita pun dah tak tengok.

So no komenlah. Maaf.



8. Dalam keadaan punk zaman ini boleh kaya raya, kau tak rasa nak kaya raya ke dengan punk? Jadi balaci gomen ke contohnya. Ataupun alang-alang anti-establishment, jadi neo-Nazi?

Nak kaya dengan muzik? Ya, betul. Mestilah nak.

Tapi apa kan daya, buat album tak sukses macam band lain yang berjaya.

Terima saja apa rezeki yang Tuhan bagi.

Idea buat lagu pun Tuhan yang bagi.

Nak kaya dengan punk selain main muzik aku tak tahu.


9. Kalau diberi peluang bercakap dengan Ajak tahun 1995 yang baru keluarkan Hypertension, apa benda pertama yang kau akan tegur? Dan apa pula yang kau langsung tak mahu dia ubah?

Ada satu benda yang aku tak suka perangai aku zaman dulu tu. Pasal interview bandlah.

Dulu kan zine. Ada interview aku, tapi jawapan aku simple giler. Macam malas nak fikir saja. Jawab sepatah saja.

Tu sajalah aku nak tegur kalau jumpa.

Macam sekarang ni kira ok jugaklah. Banyak jugak aku taip.

Aku tahu sebab ada member bagi aku baca zine dia yang interview Skinbasher.

Yang tak mahu ubah mungkin muzik kot.

Tiba-tiba jadi galau pulak ke sebab nak diterima masyarakat.

Satu lagi aku nak bagitahu Ajak 99 tu, buat saja lirik lagu sendiri dalam bahasa Melayu. Tak payah agungkan sangat bahasa band yang kau minat tu.


10. Skinbasher sentiasa ada elemen metal yang kuat, betul tak? Pernah tak kau rasa komuniti punk menganggap Skinbasher terlalu metal, manakala komuniti metal pula menganggap Skinbasher terlalu punk? Atau sebenarnya berada di tengah-tengah itu memang identiti yang kau cari?

Sebenarnya aku tak nak terikat dengan undang-undang. Contoh nak punk kena sound gitar macam ni macam tu. Nak metal kena lirik macam ni macam tu.

Aku lebih buat apa yang rasa best dan mampu saja.

Aku kalau boleh nak tackle kedua-dua peminat punk dan juga metal bergabung dalam show kami.

Yang metal boleh pogo.

Yang punk bisa banging.


11. Kau dah lihat beberapa generasi naik dan hilang dalam underground Malaysia. Pada pandangan kau, apa kesilapan paling besar band muda sekarang? Kurang bakat, kurang disiplin atau mereka sebenarnya terlalu cepat mahu diiktiraf?

Bagi aku kalau nak buat band kena ada semangat ingin berkarya yang tinggi.

Bukan sekadar nak popular atau kaya saja.

Lepas tu kalau boleh semua ada usaha untuk maju bersama.

Bukan sekadar biar sorang saja buat kerja.

Tu sajalah buat masa ni.


12. Umur kau pun dah 50 lebih dah… punk sampai bila bro?

Aku tak ada target pulak untuk soalan tu.

Buat masa nilah. 

&---------------------------&


Terima kasih kepada Ajak kerana meluangkan masa menjawab soalan-soalan Krenmaut dengan cukup jujur dan bersahaja. Di sebalik imej sebuah band punk yang telah bertahan lebih tiga dekad, jelas bahawa Skinbasher tidak pernah terlalu sibuk membuktikan siapa mereka. Mereka sekadar terus berkarya mengikut kemampuan, menikmati setiap proses dan masih bersedia naik ke pentas apabila dipanggil. Jika Slatan Sorga membuktikan sesuatu, ia adalah hakikat bahawa kejujuran kadangkala lebih kekal daripada mengejar trend.



Comments