Ulang Tahun ke-46 (1980–2026)
Lemmy Kilmister mengakui bahawa beliau masih seronok memainkan “Ace of Spades”, tetapi sudah jemu mendengarnya di tempat-tempat yang dikunjungi. Dalam wawancara bersama Metal Edge pada 2005, Lemmy mempersoalkan peminat yang mengaku menyukai Motörhead tetapi hanya mengenali lagu tersebut tanpa mengikuti album-album mereka yang lain. Ironinya, lagu yang membawa Motörhead kepada khalayak lebih luas turut membayangi sebahagian besar karya mereka.
Tahun ini menandakan 46 tahun kelahiran Ace of Spades, album studio keempat Motörhead yang diterbitkan pada 1980 melalui Bronze Records. Dirakam oleh barisan klasik Lemmy Kilmister, Fast Eddie Clarke dan Philthy Animal Taylor, album terbitan Vic Maile ini mencapai tangga keempat carta album UK. Kejayaan tersebut meneruskan momentum dua album sebelumnya, Overkill dan Bomber, yang kedua-duanya muncul pada 1979.
Namun, Ace of Spades bukan sekadar kuat pada lagu judulnya. Album yang mengandungi 12 lagu ini turut menampilkan “(We Are) The Road Crew”, penghargaan kepada kru jelajah yang bekerja di belakang tabir, “The Chase Is Better Than The Catch” dengan rentaknya yang lebih bersahaja, serta “The Hammer” yang agresif dan pantas. Ketiga-tiganya memperlihatkan kekuatan Motörhead sebagai sebuah kumpulan, bukan sekadar penghasil satu lagu popular.
Namun, “Ace of Spades” akhirnya menjadi lagu yang paling sinonim dengan Motörhead walaupun pengaruh kumpulan ini sebenarnya jauh lebih luas, khususnya melalui gabungan tenaga punk, rock 'n' roll dan kepantasan yang turut mempengaruhi perkembangan speed metal serta thrash metal. Lagu judul tersebut mungkin menjadi pintu masuk bagi ramai pendengar, tetapi katalog Motörhead mempunyai jauh lebih banyak lagu-lagu yang menarik untuk diterokai.
KOMENTAR KRENMAUT:
Dengar sahaja pembukaan “Ace of Spades”. Bass masuk dahulu, kemudian dram Philthy menyusul, disambut pula oleh melodi gitar Fast Eddie. Gabungan ketiga-tiganya bagaikan dentuman guruh yang terus menangkap perhatian. Belum pun Lemmy membuka mulut, lagu ini sudah cukup menggegarkan. Bagi KRENMAUT, kehebatan “Ace of Spades” tidak memerlukan intro yang panjang. Semuanya berlaku begitu pantas dan tepat; tidak sampai tiga minit pun sudah selesai, tetapi kita mahu mendengarnya sekali lagi. Tidak hairanlah lagu ini begitu ikonik sehingga sebelas lagu lain dalam album yang sama sering berada di bawah bayang-bayangnya.
Adakah anda antara pembeli album Ace of Spades yang hanya mendengar lagu judulnya berulang kali, sedangkan sebelas lagu lain jarang dimainkan?
SUMBER BERITA:
Metal Edge (wawancara Lemmy, 2005); SPIN (wawancara Lemmy, 2009); Official Charts (rekod carta UK); MusicBrainz (rekod album 1980).

Comments
Post a Comment